Friday, January 11, 2013

Maya


Maya menghempaskan pintu rumahnya sebelum berjalan keluar dari rumahnya. Rumah itu bagaikan neraka. Rumah itu penuh dengan huru-hara. Ayah dan ibunya bergaduh lagi, dan kerana duit lagi. Macam mana duit tak habis, kalau ayahnya asyik berjoli. Macam mana duit tak habis, kalau ibunya asyik membeli baju dan barang mekap lagi.
Sebelum keluar, masih sempat Maya mencapai gitarnya. Dia ingin lari jauh dari rumah itu. Tapi, dia tidak tahu mahu ke mana. Dia tidak punya teman. Tiada manusia yang ingin berkawan dengannya. Pada mulanya dia tidak tahu kenapa. Tapi, baru dia sedar kerana dia tidak pandai untuk bercakap yang manis-manis. Dan dia sering tenggelam dalam muziknya. Bila ayahnya tahu dia minat muzik, ayahnya membelikan dia gitar dan keyboard malah, diupahnya seorang guru untuk mengajar dia bermain muzik.
Tapi, sejak ayahnya dibuang kerja sebagai seorang eksekutif, dan sekarang terpaksa bekerja hanya sebagai drebar teksi, hidup mereka mula susah. Keyboard juga telah ayahnya jual untuk membayar bil-bil dalam rumah. yang tinggal hanya gitarnya. Kerana setakat gitar sebegini berapa sangatlah dapat dijual.
Maya duduk di perhentian bas. Seperti biasa bersendirian lagi. Jam sudah menunjukkan pukul 10 malam. Dia tidak tahu mahu pergi kemana. Tiada kawan untuk singgah sementara. Tiada saudara untuk tumpang tidur.
Dan Maya mula memetik gitarnya. Hanya mampu bermainkan irama hatinya yang sayu. Dan dengan perlahan-lahan dia menyanyikan suara hati. Terasa jarinya basah dengan air matanya.
Mengenang peristiwa-peristiwa manis bersama ibu dan ayahnya. Mengenang bagaimana mereka menyayanginya ketika dia masih kecil. Mengenang bagaimana mereka menatangnya bagai minyak yang penuh. Mengenang titik permulaan apabila semuanya mula berubah. Mengenang ayah dan ibunya bergaduh setiap hari kerana wang, kerana Maya, kerana semuanya. Mengenang ayah dan ibunya menyalahkan antara satu sama lain kerana masing-masing kahwin tanpa restu keluarga.
Dan usai dia memetik not yang terakhir. Seseorang telah bertepuk tangan. Maya mendongak melihat seorang gadis bertudung tutup dada, berbaju longgar dan labuh serta berseluar.
Gadis itu duduk di sebelahnya sambil tersenyum. “Hai. Nama saya Meera.”
Dan untuk pertama kalinya, pada malam itu, Maya mengenal seseorang yang boleh digelar sahabat.




IU
Zehan Ilyana