Wednesday, May 29, 2013

::Aisyah Untuk Muhammad:: ~6~

Yeayy!” Zahra menepuk tangan.
“Kau asal? Mereng?” Aisyah menyedut air kotak laicinya.
“Bukanlah.” Zahra mencekak pinggang dan sebelah tangan menyedut air tin 100 plus. “Kan esok dah cuti sekolah. Aku nak pergi bercuti dengan keluarga aku. Tak sabarnya.”
Pergh… untunglah.” Diana menopang dagu. “Kau tau tak buka sekolah je, kita dah masuk tingkatan lima dan nak SPM?”
“Weh, jangan spoilkan mood cuti aku, boleh tak?” Fatimah makan coklat Cadbury.
Sesi persekolahan untuk tahun ni baru sahaja tamat, dan diorang tengah lepak dekat taman sekolah. Malas nak balik rumah awal sangat. Lagipun lepas ni cuti, masing-masing selalunya ada aktiviti sendiri bersama keluarga. Dan lepas tu baru diorang akan lepak semula. Bila dah hari-hari jumpa, hari-hari mengadap muka sama. Kadang-kadang sabtu ahad pun jumpa untuk study group ataupun tengok wayang ataupun shopping sama-sama. Jadinya bila cuti panjang sahaja mereka berempat ni terpisah sekejap, mestilah rindu, tahu?
“Kau nak pergi mana cuti ni?” AIsyah pandang Zahra yang baru nak duduk.
“Pergi London.” Zahra sengih.
“Pergh.”
“Aku nak bercuti ke Pulau Langkawi.” Diana bagitau tanpa ditanya.
“Aku cari duit dengan jadi babysitter, sepupu aku baru je bersalin. Jadi dia nak minta tolong apa-apa yang patut. Kira jadi babysitter cum bibik jugalah.” Fatimah menyuapkan pula Rocky perisa strawberry dalam mulutnya.
“Kau pulak?” Zahra mencapai sebatang Rocky Fatimah.
“Aku tak tahu lagi. Tak ada apa-apa perancangan. Mungkin duduk rumah dan belajar.” Saja Aisyah jawab macam tu. Padahal dalam kepala dah banyak aktiviti outdoor yang dia nak buat.
“Kau ni. Nak jadi Diana lah ni. Ish.” Zahra tarik muncung.
Diana dan Fatimah gelak.



Aisyah meletakkan begnya di tepi katil dan merebahkan badan di tilam katil. Mata memandang kipas di siling.
Kalau budak lain semua tertunggu-tunggu waktu cuti, sebenarnya dia lebih suka alam persekolahan. Dan sepanjang tahun berada di tingkatan empat ni, tak pernah walau sekalipun dia ponteng. Kerana dia suka pergi sekolah. Suka jumpa kawan-kawan. Suka belajar. Suka cari pasal. Suka buat kecoh. Suka sertai macam-macam aktiviti.
Dan bila waktu cuti, sebenarnya… dia sunyi.



“Aisyah.” Nenek yang sedang menggoreng sayur kacang botol yang dibuat sambal bersuara lembut.
“Ya, nek?” Aisyah menggaul ikan bilis goreng dengan sambal tumis merah.
“Cuti ni rancangan kamu nak ke mana?”
“Tak tahu lagi nek. Nenek pergi rumah Pak Long kan esok?”
Nenek menutup dapur gas. “Ha’ah. Kalau kamu tak ada kemana, kamu ikut jelah nenek pergi rumah Pak Long.” Menyedok kacang botol bersambal ke dalam mangkuk bunga kuning sederhana besar.
Aisyah diam. Pergi rumah Pak Long? Hm. “Nanti Aisyah tanya Kak Lila dia ada tak kat rumah.” Kalau Kak Lila ada best juga bersembang dengan dia malam-malam. Buat pillow talk dengan dia.
“Kenapa pula kalau Lila ada ke tak ada?”
“Kalau Kak Lila ada, bestlah juga duduk rumah Pak Long tu. Boleh gosip.” Aisyah sengih.  Kak Lila sekarang ni belajar dekat UiTM dalam bidang masscomm. Kalau dia pun cuti juga, bestlah juga dapat lepak dengan dia. Oh, Kak Lila ni anak bongsu Pak Long.
“Gosip? Apa benda alah tu?” Berkerut dahi nenek dengar perkataan gossip.
Er… alamak. “Gosip tu dia macam er…” ligat kepala otak mencari jawapan sesuai. “…sembang.” Sengih lagi. Ah, lantaklah, bukan nenek nak pergi cek kamus pun kan? Hee hee.
“Ooo…” panjang ‘O’ nenek.
 “Okey semua dah sedia. Jom makan nek.” Aisyah meletakkan sudu di setiap mangkuk lauk. Duduk dan baca doa dengan laju. “Amin.” Meraup tangan ke wajah.
“Aisyah. Cepat sangat Amin nya tu. nenek tak dengar pun butir doa yang kamu baca.” Nenek dah jeling tajam.

Ngeee~ nenek ni, orang lapar ni. Aisyah senyum tak bersalah. Tapi, dibaca juga doa makan sebutir-butir dengan jelas dan kuat. Nenek tersenyum sambil mengaminkan.



Aisyah mengunci pintu bilik dan duduk atas katil, membongkok untuk keluarkan kotak dari bawah katil. Dibuka kotak sederhana besar itu, dikeluarkan sebuah album gambar.  Perlahan tangan menyelak album gambar.
Gambar kenangan sewaktu dia berumur 7 tahun, bercuti berdua bersama mama di Sydney. Sebenarnya bukanlah bercuti sangat, mama ada urusan kerja dan telah membawa dia bersama. Dan dengan kesempatan dan masa yang sedikit mereka habiskan masa bersama di sana.
Aisyah mencapai lagi satu album gambar. Dibuka album gambar dan melihat gambar lengkap keluarga yang dia punya satu waktu dahulu. Papa meninggal sewaktu dia berumur tiga tahun dalam kemalangan.
Dan walaupun dia tidak berapa ingat, tapi bila melihat gambar ini, papa meninggal seminggu selepas sambutan hari lahir dia. Aisyah senyum.  Allah ambil papa selepas bagi aku peluang untuk menyambut hari jadi bersama dia dan mama. Walaupun ini adalah gambar kenangan terakhir, tapi dia puas. Sekurangnya, dia punya memori dan gambar lengkap keluarga.
Dikeluarkan satu lagi album gambar, sewaktu dia berumur 12 tahun. Gambar-gambar dia bersama mama di hospital. Gambar-gambar terakhir mama yang kuat melawan kanser. Namun, Allah lebih menyayangi arwah mama.
Aisyah senyum lagi, dia bertuah lahir dari seorang wanita yang kuat dan gagah. Jadi dia juga perlu kuat dan gagah menghadapi hidup ini. Dia memang sunyi tanpa papa dan mama. Bertambah sunyi sebab dia anak tunggal.
Tapi dalam pada masa yang sama, dia masih rasa bertuah, kerana dia pernah punya sebuah keluarga bahagia. Mungkin terlalu sekejap Allah pinjamkan. Tapi, hidup ini sementara dan sekejap sahaja. Dia yakin sunyi dan sedih yang dia simpan rapi dalam hati, akan lupus juga.
Aisyah mengeluarkan gambar berbingkai dalam kotak itu, dia memang tidak meletak atau menggantung gambar-gambar di dalam biliknya. Gambar dia, mama dan papa dengan senyuman yang lebar, sangat bahagia, sangat gembira seolah masa terhenti di situ bersama kebahagiaan itu. Aisyah memeluk bingkai gambar itu.

Air mata yang tidak diundang berderai. Rindu, terlalu rindu. Tapi, siapa yang bisa memahami sunyi dan sepi seorang anak yatim piatu?

No comments: